suria

PKS, Syarikat Permulaan Digesa Teroka Platform Perdagangan Digital India

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menggalakkan lebih banyak syarikat permulaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), merebut peluang dalam platform perdagangan digital India dalam usaha mereka untuk mengembangkan rangkaian mereka.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri J Jayasiri berkata India merupakan pasaran yang besar dengan jumlah penduduk kira-kira 1.8 bilion, dan terdapat permintaan yang tinggi bagi sistem dan alat teknologi.

"Selaras dengan pengisytiharaan tahun ini sebagai 'Tahun Ekonomi Internet', Pengasas Alibaba Group, Jack Ma telah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Digital kita, bagaimanapun kita juga perlu melihat pasaran lain dan menyertai acara teknologi perniagaan untuk mendapat capaian yang lebih besar.

"Langkah ini akan menjimatkan banyak masa mereka (usahawan) berbanding pergi ke India secara fizikal," katanya pada sidang media selepas prapelancaran Asean India Biztech Expo  and  Conference 2017 di sini, Selasa.

Tahun lepas, jumlah perdagangan Malaysia dengan India sebanyak RM1.85 bilion. 

Terdahulu, Jayasiri berkata perniagaan kini boleh mengharap kepada peluang yang lebih besar untuk melabur dan melakukan perdagangan bagi barangan dan perkhidmatan sebaik perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)  dimuktamadkan, seperti dijadualkan, pada November. 

"Bukan hanya pasaran dengan 1.8 bilion orang diperluaskan kepada pasaran dengan 3.5 bilion, tetapi juga rantaian bekalan yang luas yang akan menyediakan peluang kepada perusahaan untuk semua saiz. 

"Perniagaan Asean dan India dapat menikmati kelebihan sebagai negara penggerak pertama, hanya jika mereka sanggup mengambil langkah berani untuk melabur sekarang," katanya.

Acara selama dua hari yang julung kali diadakan mulai 24 Mei ini, merupakan anjuran Majlis Perniagaan Asean-India (AIBC) sempena ulang tahun hubungan  Asean-India Ke-25, dan akan dirasmikan oleh Menteri Miti Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bertemakan, 'Merapatkan Sempadan Melalui Perniagaan', ia terdiri daripada tiga komponen utama iaitu pameran, persidangan dan Anugerah Kecemerlangan dan Pencapaian Asean-India. 

Sementara itu, Pengerusi Bersama AIBC Datuk Ramesh Kodammal berkata pameran itu meliputi industri berteknologi tinggi termasuk Internet of Things (IoTs), mesin pintar, aeronautik, bioteknologi dan farmaseutikal. 

Katanya pihaknya menjangka lebih 5,000 pengunjung dan kira-kira 120 gerai pameran akan disediakan oleh India, Malaysia dan perniagaan dari negara-negara Asean yang lain.

Aliran perdagangan dan pelaburan antara Asean dan India kekal sederhana dengan purata AS$67.96 bilion dalam tempoh 2011-2015.

Pada 2015, jumlah perdagangan sebanyak AS$58.74 bilion, mewakili hanya 59 peratus daripada sasaran AS$100 bilion yang ditetapkan oleh pemimpin Asean. 

Setakat ini, Asean mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Jumlah perdagangan global Asean setahun melebihi AS$2.5 bilion dan 50 peratus daripadanya import ke Asean. -- Bernama

Jayasiri, Miti, Asean, India

Artikel Lain