suria

E-Dagang Paling Pesat Berkembang: Lazada Malaysia Atasi Lazada Singapura

KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia telah mengatasi Lazada Singapura untuk muncul sebagai platform e-dagang berkembang paling pesat di Asia Tenggara dalam tempoh sembilan bulan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel berkata, syarikat berkenaan mencatat lebih 100 peratus pertumbuhan jualan pada 2016.

"Pasaran e-dagang Malaysia berkembang maju kerana ia disokong pelbagai kemudahan logistik serta syarikat kurier tempatan dan asing," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Hari Jadi Kelima Lazada Malaysia di sini, Selasa.

Menurutnya, kaedah pembayaran seperti tunai ketika penyerahan serta kemudahan pembayaran dalam talian, telah menjadikan beli-belah dalam talian lebih mudah untuk pelanggan di Malaysia.

Setakat ini, kira-kira empat juta pengguna telah memuat turun aplikasi mudah alih Lazada Malaysia, dengan sekurang-kurangnya 10,000 daripada pengguna terbabit dan membeli-belah dengan platform berkenaan setiap minggu.

Kami merancang menambah jumlah produk di atas platform kami kepada tiga kali ganda kepada kira-kira 30 juta menjelang akhir tahun, berbanding 10 juta hingga 12 juta produk sekarang ini," tambahnya.

Ressel berkata, prospek untuk syarikat itu adalah positif, dengan kadar pertumbuhan yang sama pada 2017, malah mungkin meningkat lagi berbanding tahun sebelumnya.

Lazada Group kini beroperasi di Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Di Malaysia, kira-kira 15,000 peniaga menjalankan perniagaan dalam talian melalui platform tersebut.

"Minggu lepas kami telah menandatangani perjanjian dengan SME Corp Malaysia untuk membawa masuk tambahan 25,000 peniaga beberapa bulan lagi hingga tahun depan," kata Ressel.

Menurutnya, syarikat itu telah membuat pelaburan besar dalam teknologi data dan automasi bagi melengkapi peniaga dalam talian dengan penyelesaian kelas dunia, alat pemasaran, pengurusan konten serta perkhidmatan e-dagang yang menyeluruh.

Menyentuh kerjasama antara Lazada Malaysia dan pelabur utamanya, Alibaba Group dari China, Ressel berkata, kumpulan itu telah membantu mereka dalam mengembangkan perniagaan dan menangani pelbagai cabaran e-dagang.

Mengenai zon perdagangan bebas digital yang dijangka dilancar pada Rabu, beliau berkata, kerajaan Malaysia adalah antara kerajaaan paling aktif di Asia Tenggara yang menyokong penggiat e-dagang.-- Bernama


Lazada

Artikel Lain