suria

AirAsia Bakal Perkenal Sistem EPos

Fernandes (kiri)pada program AirAsia Santan Food Festival, Isnin. Foto:AZLINA BT ABDULLAH/ The Star.

SEPANG: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia akan memperkenalkan sistem titik jualan elektronik (ePos) dalam tempoh lapan bulan lagi yang bertujuan membolehkan penumpang membuat pesanan serta pembayaran makanan dan minuman (F&B) secara dalam talian ketika dalam penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata sistem ePos yang boleh diakses menerusi perkhidmatan WiFi dalam pesawat, roKKi merupakan antara usaha pendigitalan syarikat penerbangan itu bagi mewujudkan perkhidmatan dalam penerbangan yang lebih menarik dan inovatif.

“Ini jauh berbeza daripada sekadar menolak troli makanan, malah memudahkan kami melayan penumpang yang membuat pesanan menerusi telefon pintar masing-masing," katanya kepada pemberita pada program AirAsia Santan Food Festival di sini, Isnin.

Tony berkata, kira-kira enam peratus penumpang AirAsia menggunakan kemudahan dalam pesawat itu  sejak perkhidmatan WiFi roKKi diperkenalkan pada 2014.

Selain itu, mengulas festival berkenaan, beliau berkata AirAsia telah menjalin kerjasama dengan kira-kira 50 syarikat F&B Asean yang menawarkan sajian makanan dari sekitar rantau ini.

“Apa yang kami lakukan adalah membawa sajian enak Asean bagi memberi pengalaman makanan serba unik. Matlamat kami adalah untuk membawa pengalaman menikmati makanan menyelerakan itu ke dalam pesawat,” katanya.

Beliau berkata AirAsia turut meninjau kaedah penggunaan bungkusan yang mesra alam selain troli minuman untuk menghidangkan kopi panas dalam pesawat. –Bernama

AirAsia, ePos

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain