suria

Fasa Pertama Projek Coop City Bandar Penawar Bermula September Ini

JOHOR BAHRU: Fasa pertama pembangunan bandar koperasi pertama negara Coop City Bandar Penawardi Kota Tinggiyang melibatkan kos sebanyak RM87 juta akan bermula September ini dan dijangka siap sepenuhnya awal 2019.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata fasa pertama itu akan terdiri daripada pembangunan 30 unit kedai dan 128 unit rumah teres dua tingkat.

"Pelan pembangunan fasa satu itu sudah diluluskan cuma kontraktor yang akan dipilih sedang disenarai pendek memandangkan terdapat 16 kontraktor membida tender pembangunan berkenaan," katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Aidilfitri Angkasa Johor, di sini, Ahad.

Abdul Fattah berkata apabila siap kelak, kesemua kedai dan rumah teres dua tingkat itu akan diutamakan jualannya kepada anggota koperasi di negeri ini yang setakat ini mempunyai 1,300 koperasi dengan kira-kira 500,000 anggota.

Beliau berkata secara keseluruhannya Coop City Bandar Penawaryang dibangunkan bersama antara Angkasa dan Koperasi Pengerang Kota Tinggi Berhad (Kopeti) itu merangkumi tiga fasa pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar RM217 juta di tanah seluas 22 hektar di Bandar Penawar.

Pembinaan projek itu adalah menggunakan konsep yang sama seperti bandar koperasi pertama serta terbesar di dunia iaitu Bronx, New York, Amerika Syarikat.

"Pembangunan bercampur ketiga-tiga fasa secara keseluruhannya melibatkan 640 unit termasuk kedai, rumah teres dua tingkat serta rumah mampu milik Johor," katanya.

Abdul Fattah berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan Johor yang menawarkan tanah di kawasan Bandar Penawar bagi tujuan pembangunan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh anggota koperasi di negeri ini supaya mengambil peluang merebut membeli projek pembangunan yang disediakan di Coop City memandangkan kedudukannya yang berhampiran Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Pengerang.

Beliau turut berharap kerajaan negeri lain akan mengikuti langkah yang dilakukan kerajaan Johor demi kepentingan anggota koperasi.-- Bernama


Coop City, Bandar Penawar, Angkasa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain