BANGI: Kerajaan bakal melaksanakan kaedah baharu pengurusan sampah berkonsepkan penggunaan teknologi hijau yang lebih inovatif serta mengaplikasikan konsep jual beli sampah bagi menjana pendapatan. Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata kaedah itu sesuatu yang baharu di negara ini akan menggunakan teknologi pengurusan sampah sisa kepada tenaga seperti dipraktikkan di Sweden. "Di Sweden sekarang (mempraktikkan) 'circular economy' iaitu mereka menggunakan sesuatu sumber semaksimum mungkin apabila bahan terpakai seperti botol, kertas dan baju akan diproses dan dijana menjadi sumber tenaga seperti elektrik," katanya kepada pemberita di sini, Selasa. Menurutnya pelaksanaan dan penjelasan konsep baharu itu bakal diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata inisiatif itu juga diharap dapat meningkatkan kesedaran menghayati budaya hijau dalam kalangan masyarakat di negara ini yang dilihat masih berada di tahap rendah. "Masih ramai yang tidak mengasingkan sampah mengikut jenis material dan apabila sampah bercampur ia akan mengambil masa dan kos yang tinggi untuk proses pengasingan dan pelupusan. “Jadi bila kita beli bahan terpakai (yang telah diasingkan) ini, proses untuk kitar semula menjadi lebih mudah dan penjual juga mendapat duit ," katanya. Terdahulu, beliau menyampaikan ceramah bertajuk 'Smart and Sustainable Cities' kepada lebih 200 peserta di Universiti Tenaga Nasional.