suria

Pakistan Beri Jaminan Sokong Pengimport Mangga Malaysia

KUALA LUMPUR: Pakistan memberi jaminan untuk terus menyokong pengimport Malaysia dengan membawa masuk lebih banyak buah mangga ke negara ini, kata Pesuruhjaya Tinggi  Pakistan ke Malaysia, Syed Hassan Raza.

“Di mana saja saya temui rakan-rakan Malaysia, mereka pasti menyuarakan betapa mereka menggemari mangga Pakistan dan bertanya bila buah itu akan tiba," katanya pada acara Festival Mangga Pakistan di sini.

Syed Hassan turut berkongsi kebanggaannya di atas kelebihan Pakistan memiliki cuaca, tanah yang subur serta kepakaran dalam penanaman pokok mangga sehingga mampu menghasilkan antara mangga paling enak dan harum di dunia.

“Pakistan merupakan pengeluar (mangga) kelima terbesar dunia dan pengeksport keenam terbesar ke lebih 40 pasaran di serata dunia," katanya.

Menurutnya, Pakistan menghasilkan kira-kira 1.8 juta tan metrik pelbagai varieti mangga tetapi hanya mengeksport 100,000 tan, termasuk 500 tan ke Malaysia yang memberi pulangan hasil sebanyak US$1.4 juta.

“Kami menghasilkan kira-kira 150 varieti mangga di Pakistan dan ada di antaranya dalam jumlah yang amat banyak,” katanya.

Syed Hassan berkata musim buah mangga itu adalah dari bulan Mei hingga September.

Katanya, kekangan eksport adalah disebabkan hayat buah berkenaan yang singkat namun sejak lima tahun lepas, pelbagai teknik moden seperti kaedah rawatan menggunakan air panas dapat meningkatkan hayat simpanan mangga sehingga kira-kira tiga minggu.

Selain perkembangan itu, katanya, pengeluaran hasil sampingan mangga turut menyediakan peluang lumayan kepada para pelabur.

"Produk sampingan seperti jus, jeruk dan acar mangga sememangnya memiliki pasaran global yang luas. Malah nilai tambah bagi industri buah mangga ini dianggarkan mencecah US$300 juta," katanya.

Artikel Lain