PORT DICKSON: Pembungkusan 'Green-Blue' (GB) adalah teknologi pembungkusan inovatif yang menggabungkan konsep biodegradasi dan pembaik pulih sumber bagi menyokong kelestarian alam sekitar dan perniagaan, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim Prof Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani. Beliau berkata di bawah inisiatif itu juga, sistem pencernaan turut diperkenalkan di premis makanan hijau yang akan merawat pembungkusan GB bersama sisa makanan untuk menghasilkan biogas dan biobaja sebagai pendekatan pembaik pulih sumber dan seterusnya mengurangkan pelepasan gas hijau. "Projek mewujudkan industri pembungkusan GB ini sebagai langkah memperkasa industri berkenaan melalui pewujudan rantaian nilai industri pembungkusan GB," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran tapak rintis premis makanan hijau dan sistem pencernaan anaerobik di Medan Ikan Bakar Kampung Gelam di sini. Turut hadir anggota Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi Datuk Abd. Rahman Mohd Redza, Setiausaha Bahagian (Sektor Teknologi Hijau) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha) Paul Wong dan Yang Dipertua MPPD Zamri Mat Kasim. Katanya Sirim sebagai agensi pelaksana bagi projek itu yang melibatkan pembangunan kemahiran dan pengalaman untuk melanjutkan perkhidmatan dan kepakaran berkaitan pembungkusan GB kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Katanya projek itu bertujuan menggalakkan peralihan kepada pembungkusan mesra alam yang dapat mengurangkan pembuangan sisa makanan dan pembungkusan makanan ke tapak pelupusan. "Penggunaan pembungkusan GB ini akan menyokong pertumbuhan industri hijau dan amalan penggunaan dan pengeluaran mampan dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi berlandaskan persekitaran yang meningkatkan kualiti hidup rakyat dan negara," katanya. Ahmad Fadzil berkata selain Medan Ikan Bakar Kampung Gelam di sini sebagai premis makanan hijau terpilih, terdapat tiga lagi kawasan yang telah dikenal pasti iaitu Medan Selera Awam USJ7, Subang Jaya; Kompleks Melaka Mall, Melaka dan Medan Ikan Bakar, Dengkil, Selangor. Katanya kesemua premis ini akan dibekalkan dengan bekas pembungkusan makanan GB dan sistem pencernaan anaerobik sebagai sistem pengolahan sisa makanan yang berasaskan konsep pembaikpulih sumber untuk tempoh rintis ini. "Bagi tujuan pensijilan premis makanan hijau, peniaga di medan selera terpilih akan menerima khidmat perundingan sebagai persediaan awal sebelum pengauditan oleh badan pensijilan Sirim QAS International. "Ini juga termasuk produk syarikat PKS yang akan mendapat pensijilan pembungkusan bekas makanan dan produk eko yang lain pada tahun 2018. Projek ini diharap dapat mewujudkan industri dan usahawan pembungkusan GB dengan anggaran sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi sebanyak RM45 juta dalam jangka masa tiga tahun, melalui tiga usahawan PKS yang dilatih," katanya.