PETALING JAYA: Sunway Bhd yang juga syarikat induk Kumpulan Sunway, menyasarkan untuk meninjau peluang pertumbuhan baharu menerusi pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai pengerusinya. Pengasas/Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Jeffrey Cheah berkata ini selaras dengan perubahan landskap perniagaan dan pada masa sama membolehkan pengembangan portfolio teras perniagaannya di peringkat domestik dan serantau. "Perniagaan kami pada masa ini berjalan lancar. Namun, kami juga menyedari keperluan untuk meneroka cabang baharu jika mahu terus cemerlang dalam dekad-dekad akan datang. "Ini memerlukan Sunway melakukan transformasi kepada sebuah korporat era digital dengan pemikiran baharu serta merebut peluang yang ada. Mengambil kira transisi inilah membawa kami kepada pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai Pengerusi bersama Sunway Bhd," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Sunway Bhd di sini, Rabu.-- Bernama