suria

Mida Lulus RM1.3 Bilion Geran DISF

SUNGAI PETANI: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) telah meluluskan geran RM1.3 bilion untuk Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF) sejak ia diperkenal pada Julai 2012 sehingga Julai lepas.

Pengarah Eksekutif Perancangan Strategik (Perkilangan) Mida, Zabidi Mahbar berkata, peruntukan berkenaan melibatkan 264 projek dengan nilai pelaburan RM12.8 bilion.

"Geran yang diluluskan adalah dalam bentuk geran latihan, penyelidikan dan pembangunan, pensijilan bagi piawaian antarabangsa serta perolehan perlesenan dan teknologi tinggi.

"Daripada jumlah tersebut, 76 projek di Pulau Pinang, 13 di Kedah, 10 di Perak dan satu projek di Perlis, menerima geran DISF dengan pelaburan bernilai RM5.2 bilion," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pelaburan Domestik Wilayah Utara 2017 di sini, hari ini.

Zabidi menggesa semua pemain industri memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan bagi membolehkan mereka beralih ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

"Selain geran DISF, Elaun Modal Automasi yang diperkenalkan di bawah Bajet 2015 bagi menggalak penggunaan automasi dalam sektor perkilangan, juga boleh dimanfaatkan pemain industri.

"Skim ini menyediakan elaun modal automasi sebanyak 200 peratus untuk industri berintensif buruh seperti produk getah, plastik, kayu, perabot dan tekstil bagi membantu syarikat tersebut melakukan transformasi teknologi," katanya.

Menurutnya, sehingga Jun tahun ini, hanya 41 permohonan yang diluluskan Mida bagi skim tersebut dan dijangkakan permohonan akan terus meningkat susulan program 'outreach' yang dijalankan Mida.

Zabidi berkata, Mida turut merangka insentif bersesuaian untuk membantu syarikat tempatan dalam proses transformasi teknologi selaras dengan pengumuman Menteri Kewangan untuk mewujudkan insentif khas bagi Industri 4.0.

"Sebuah Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi bagi merangka Dasar Industri 4.0 yang diketuai bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi  and  Inovasi, telah ditubuhkan untuk merangka polisi, strategi dan hala tuju bagi membangunkan Industri 4.0 di Malaysia.

Tambahnya, momentum pertumbuhan pelaburan di Malaysia tahun ini pula dilihat terus kukuh walaupun pengumuman bagi  tempoh sehingga pertengahan tahun ini belum dibuat.

Sementara itu, lebih 200 peserta menghadiri seminar terbabit yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang mewakili Menteri Besar Kedah.

Seminar sehari anjuran Mida itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti perniagaan tentang peluang pelaburan serta kemudahan yang disediakan kerajaan, selain membuka platform untuk mereka berinteraksi secara terus dengan pelbagai institusi berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri.

Artikel Berikut

Artikel Lain