suria

Peserta E-Usahawan Manfaatkan Program

KUALA LUMPUR: Pasangan gandingan ibu dan anak lelaki, Noor Liner Kassim, 58, dan Muhammad Hasif Azizan, 25, adalah antara 100 peserta e-usahawan yang akan menyertai acara #MYCYBERSALE 2017 pada 9-13 Oktober ini.

Mereka akan 'turun padang'untuk mempromosikan produk sendiri iaitu minyak muka premium 'Dermal Lifter Premium Face Oil.' Menurut Noor Liner, produk berkenaan telah dilancarkan pada Mac lepas dan beliau menyasarkan untuk meraih bahagian pasaran global dalam masa setahun.

"Pada masa ini, kami menjual produk itu secara dalam talian menerusi platform media sosial. Saya amat positif kami dapat menembusi pasaran asing seperti China menjelang akhir 2018," katanya kepada Bernama pada majlis pelancaran #MYCYBERSALE 2017 di sini.

Noor Liner yang juga sebahagian daripada komuniti Amanah Ikhtiar Malaysia berkata perjalanan perniagaannya menyertai e-dagang bermula awal tahun ini selepas pegawai Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) memberi ceramah mengenai perniagaan digital di salah satu program Amanah Ikhtiar.

"Daripada situ, MDEC dan SME Corp Malaysia telah mengajar saya untuk memanfaatkan platform e-dagang dan produk kami kini boleh diperolehi menerusi pelbagai platform seperti Lelong.my, Lazada dan MyBazar," katanya.

Beliau turut menyuarakan hasratnya untuk meneroka saluran dalam talian yang lain.

Mengulas hasratnya untuk menembusi pasaran global, beliau berkata tumpuannya adalah kepada pasaran halal yang menerima permintaan tinggi.

"Bagaimanapun untuk menembusi pasaran itu, kami perlu melakukan lebih banyak ujian untuk mencapai standard yang telah ditetapkan. Namun, kosnya jauh lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Bakat dan Keusahawanan Digital MDEC, Sumitra Nair berkata Noor Liner adalah antara 100 peserta e-Usahawan yang mengambil bahagian dalam #MYCYBERSALE 2017.

"Ini kali pertama e-Usahawan mengambil bahagian (dalam  #MYCYBERSALE 2017). Kami berharap 100 usahawan itu akan berkongsi kisah kejayaan mereka untuk edisi akan datang yang mana kami menyasarkan 500 orang akan mengambil bahagian,” katanya.

E-Usahawan itu merupakan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan golongan muda dan usahawan mikro menerapkan ekonomi digital.

MDEC menyasarkan untuk mempertingkatkan (jualan) produk keluaran e-Usahawan dengan menggunakan platform dalam talian dan pada masa sama memanfaatkan 600 juta penduduk ASEAN.

Sejak 2015, lebih 120,000 usahawan e-Usahawan dilatih oleh MDEC yang mana 30 peratus daripada mereka sudah pun menjana pendapatan perniagaan masing-masing.

#MYCYBERSALE 2017 akan diadakan pada 9-13 Okt, 2017 dengan penyertaan lebih 1,000 pedagang tempatan.

-- BERNAMA ROSEMARIE KHOO MOHD SANI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Go Auto Bakal Lancar Bas Elektrik

Artikel Lain