suria

IMF Lebih Optimistik Tentang Pemulihan Global

WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) lebih optimistik dengan pemulihan global ketika ini berbanding pada Julai dan menggesa semua negara mengambil langkah untuk melaksanakan perubahan bagi menyokong pertumbuhan inklusif serta mampan, lapor agensi berita China Xinhua.

"Pemulihan global yang sekian lama ditunggu kini mula berlaku... Minggu depan kita akan mengeluarkan ramalan yang dikemas kini sebelum Mesyuarat Tahunan kami - dan ia berkemungkinan besar akan lebih optimistik," kata Pengarah Urusan IMF Christine Lagarde dalam ucapannya pada Khamis sebelum mesyuarat tahunan IMF/Bank Dunia.

Pada Julai, IMF menjangkakan ekonomi global berkembang sebanyak 3.5 peratus tahun ini dan 3.6 peratus pada 2018.

Lagarde berkata pada Khamis bahawa hampir 75 peratus negara di dunia mengalami peningkatan ketika ini -- pertumbuhan paling pesat sejak permulaan dekad.

Selain perkembangan pesat dalam pertumbuhan global, kestabilan kewangan bertambah baik kerana sistem perbankan lebih stabil dan peningkatan keyakinan pasaran, kata Lagarde.

"Kita nampak ada harapan untuk memulihkan keadaan namun bukan sepenuhnya," kata Lagarde merujuk tahap hutang yang tinggi, pengambilan risiko berlebihan di pasaran kewangan dan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing sebagai ancaman kepada pemulihan global.

Lagarde menggesa semua negara agar mengambil peluang susulan peningkatan ini untuk melaksanakan perubahan seperti melabur dalam pendidikan, penyelidikan dan pembangunan serta infrastruktur bagi merangsang produktiviti dan memupuk pertumbuhan inklusif.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain