NANNING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menggunakan teknologi ‘ais kering' bagi memastikan tahap kesegaran durian serta buah-buahan lain di Malaysian Durian Festival 2017 (MDF2017) berada pada tahap optimum ekoran kawalan standard yang ketat oleh pihak berkuasa China. Timbalan Ketua Pengarah Fama, Mansor Omar berkata penggunaan ais kering dipilih kerana cabaran membawa lima tan metrik durian jenis Musang King adalah lebih tinggi memandangkan suhu yang ideal ialah -18 darjah Celcius sepanjang pengangkutan sama ada melalui laut atau udara. “Secara amnya, China mahu memastikan buah-buahan segar yang kita bawa adalah selamat untuk dimakan sebab sekiranya kita bawa melalui jalan laut ia memerlukan hampir 14 hari, manakala melalui udara ialah empat jam. “Jadi, bagi memastikan ia melepasi kawalan standard yang tinggi oleh China, kita buat kajian terlebih dahulu untuk memastikan teknologi apa yang sesuai dan akhirnya kita dapati ais kering paling baik untuk kekalkan kesegaran,” katanya kepada pemberita dalam sesi temu bual sempena MDF2017 selama tiga hari bermula Jumaat. Mansor berkata Fama serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sendiri telah melakukan perbincangan berterusan dengan pihak Pentadbiran Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin (ASQIQ), iaitu badan pemantau kualiti China bagi memastikan segala langkah pematuhan tercapai dalam usaha membawa masuk durian ke negara ini. Katanya lagi, pematuhan standard kawalan China adalah penting kerana festival durian itu dilihat antara perintis kepada usaha berterusan Malaysia untuk menembusi pasaran durian di negara China. Menurut kenyataan kementerian, usaha proaktif kerajaan Malaysia untuk tembusi pasaran durian China bermula seawal April 2011 sewaktu lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila Perdana Menteri China ketika itu, Wen Jiabao mengumumkan cadangan China untuk memberi akses pasaran bagi durian sejuk beku dari Malaysia. Sehubungan itu, beberapa langkah proaktif dilakukan kementerian bagi memastikan rancangan itu berjaya, termasuk pada Nov 2016 apabila menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan penganjuran festival durian di Nanning yang mendapat respons positif daripada naib gabenor Wilayah Guangxi. Mengenai usaha pemasaran bagi MDF2017 ini pula, Setiausaha Bahagian Pemasaran dan Eksport kementerian Dr Hanisah Hussin berkata pihaknya bekerjasama dengan pihak penganjur dari Rimbuhan Hijau dan Regal International untuk melakukan promosi berterusan di Malaysia dan juga China. “Aktiviti pemasaran dan promosi kita bermula sebaik sahaja pihak Wilayah Guangxi bersetuju dengan penganjuran festival durian di sini tahun lepas. Di Malaysia, kita sudah bekerjasama dengan media tempatan dan kita sambung hebahan di sini,” katanya lagi. Bagi menjayakan MDF2017, selain lima tan metrik Musang King dibawa secara terus dari Malaysia, turut dipromosikan ialah lebih 250 produk durian dan buah-buahan seperti nangka madu, nanas, serta sarang burung walit melibatkan lebih 40 pengusaha Malaysia.-- Bernama