KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd melancarkan kad debit Justice League edisi terhad dengan kerjasama Warner Bros Consumer Products bagi pihak DC Entertainment dan Visa. Pelancaran ini bertepatan dengan tayangan filem Justice League yang ditunggu ramai, yang menampilkan adiwira DC Comics termasuk Batman, Wonder Woman, Flash, Aquaman dan Cyborg. Ketika Malaysia semakin dekat untuk menjadi masyarakat tanpa tunai, RHB berharap reka bentuk yang unik ini akan menarik perhatian peminat adiwira berkenaan, dan memberi inspirasi kepada mereka untuk menggunakan kad debit secara aktif sebagai cara pembayaran yang mudah dan selamat. "RHB sedang berusaha untuk memperkenalkan lebih banyak rekaan kad berdasarkan adiwira Justice League yang lain tahun depan, ketika kami terus mengenal pasti kaedah untuk meningkatkan ciri produk untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang," kata Pemangku Ketua Perbankan Runcit RHB Nazri Othman dalam satu kenyataan pada Khamis. Kad debit edisi terhad itu menawarkan ganjaran tunai 0.5 peratus ke atas perbelanjaan runcit di luar negara, dan tersedia untuk pemegang akaun simpanan dan akaun semasa RHB Bank.