suria

Perodua Sasar Jualan 209,000 Unit

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Dr Aminar Rashid Salleh ketika memberi penerangan pada Perodua 2017 Full Review di Perodua Central, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta tempatan, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjangka jualan meningkat sebanyak dua peratus kepada 209,000 unit pada tahun ini berbanding 204,900 unit pada tahun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata pertumbuhan tersebut akan dipacu terutamanya oleh jualan model Myvi dan Axia.

"Kami menjangka lebih banyak pendaftaran pada masa akan datang," katanya kepada pemberita pada ulasan mengenai prestasi tahunan syarikat itu di sini, Jumaat.

Beliau berkata edisi Myvi yang terbaharu, dilancarkan pada November tahun lepas, telah mendapat lebih 36,000 tempahan dan lebih 11,000 unit telah diserahkan.

Daripada jumlah tempahan yang dibuat bagi  Myvi, katanya sebanyak 85 peratus bagi varian 1.5 liter dan 15 peratus bagi varian 1.3 liter.

Perodua turut dijangka menerajui pasaran dengan 35 peratus bahagian pasaran pada tahun ini, katanya, sambil menambah pengeluaran diunjurkan meningkat sebanyak lapan peratus kepada 215,000 unit.

Aminar Rashid berkata syarikat turut merancang untuk meningkatkan lagi perniagaan selepas jualannya untuk memenuhi jumlah pelanggan yang dijangka meningkat.

"Langkah ini akan dilakukan dengan menaik taraf kemudahan sedia ada untuk mempunyai  lebih banyak ruang dan meningkatkan lagi kecekapan kakitangan kami.

"Ini akan mengurangkan masa menunggu pelanggan kami dan pada masa sama meningkatkan pengambilan," katanya, sambil menambah pendapatan servis dijangka meningkat tiga peratus pada tahun ini.

Selain itu, pengambilan servis dijangka berkembang sebanyak 1.9 peratus kepada 2.14 juta pada tahun ini serta pendapatan alat ganti dan aksesori diunjurkan meningkat sebanyak dua peratus.

Mengenai prestasi pada 2017, katanya jumlah jualan merosot sedikit daripada 207,100 dicatatkan pada 2016 tetapi bahagian pasaran kekal pada 35 peratus.

Pendapatan servis naik 12 peratus, pendapatan alat ganti dan aksesori meningkat tujuh peratus, pengambilan servis menokok tiga peratus, bagaimanapun pengeluaran susut enam peratus kepada 200,000.

Eksport merosot 20 peratus kepada 3,766 unit berbanding 4,696 unit pada tahun sebelumnya berikutan persaingan di Indonesia, katanya.-- Bernama  


Perodua

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain