suria

Maybank Runding Buka Cawangan Di India

NEW DELHI: Kumpulan perbankan terbesar Malaysia sedang memuktamadkan rundingan dengan pihak berkuasa India untuk membuka cawangan sendiri dalam usaha memperkukuhkan kedudukannya di negara itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pada masa ini Maybank beroperasi di India menerusi anak syarikatnya, Bank Internasional Indonesia (BII) di Mumbai sejak 2013.

BII membuka cawangan pertama di India pada 1995 namun operasi itu dihentikan pada 2008 sebelum kembali semula pada 2013.

"Maybank kini dalam proses rayuan untuk menubuhkan cawangannya di India tanpa menerusi BII," katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini, Rabu.

Mustapa berada di India bagi mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India yang dijadual berlangsung pada 25 dan 26 Januari ini.

Najib yang dijangka tiba di sini pada 8 malam ini juga akan menyertai pemimpin-pemimpin negara Asean lain sebagai tetamu kehormat bersempena sambutan Hari Republik India pada Jumaat.  -- Bernama



Maybank, India

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain