suria

Ifa Raziah terkejut dikaitkan dengan fitnah Ismail Sabri langgar SOP - “Itu video lama, masa PKPP... saya tak tahu siapa yang buat khianat”

Ifa Raziah menjelaskan video itu dirakamkan pada September tahun lalu.

PENYANYI Ifa Raziah tidak menyangka video lama yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya dijadikan bahan fitnah terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kata Ifa atau Saripah Raziah Mustapha, 46, video yang menunjukkan dia hadir dalam satu majlis dihadiri Menteri Kanan (Keselamatan) itu dirakam pada 15 September tahun lalu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyebaran dua video fitnah, Ismail Sabri buat laporan polis

"Itu memang video lama, 15 September 2020. Masa itu (negara) RMCO/PKPP. Semua majlis termasuk kenduri kahwin dibenarkan.

"Saya dijemput menghadiri majlis tersebut dan saya sendiri memakai topeng muka selain tidak bersalam dengan sesiapa (dalam majlis tersebut)," katanya menerusi kiriman WhatsApp kepada mStar.

Terdahulu rakaman video memaparkan Ismail hadir dalam sebuah majlis tular di Facebook.

Video itu dirakam ketika negara dalam tempoh PKPP.

Difahamkan video berkenaan adalah sewaktu majlis pelancaran Tabung Pahlawan di Royal Chulan, Kuala Lumpur.

Turut kelihatan dalam videa sama ialah penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam.

Sehubungan itu, Ismail pada Sabtu membuat laporan polis susulan penyebaran dua video lama yang didakwa memfitnah dirinya berhubung pelanggaran SOP.

Itu memang video lama, 15 September 2020. Masa itu (negara) RMCO/PKPP. Semua majlis termasuk kenduri kahwin dibenarkan.

IFA RAZIAH

PENYANYI

Ismail dituduh melanggar SOP ketika negara sedang dalam tempoh PKP sejak 13 Januari lalu.

Sementara itu Ifa menambah, dia tidak mengetahui siapa yang berniat jahat mahu memfitnah Ismail memandangkan video yang dikongsikan di akaun TikTok miliknya itu dikongsi oleh 114 individu lain.

"Saya tidak tahu siapa yang nak buat khianat pada beliau.

"Cuba jangan cepat menghukum sesama manusia. Kalau benda itu tak betul, dah jadi fitnah.

"Hukum fitnah adalah lebih berat dari membunuh. Tak fasal-fasal saya dapat banyak pahala... Alhamdullilah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain