PELAKON Scha Alyahya menyokong tindakan penyanyi Naim Daniel membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterima penyanyi itu selepas lantang menegur mengenai gerakan Blockout2024. Kata Scha atau Sharifah Nor Azean Mahadzir Al-Yahya, 41, dia juga bakal mengambil pendekatan yang sama sekiranya turut diancam sedemikian rupa. "Sekarang kan dah bergaduh sesama bangsa sendiri, ugut sana-sini. "Saya pun tak akan teragak-agak akan mengambil tindakan yang sama bila saya berada di situasi macam ini," katanya menerusi sebuah hantaran di Instastory pada Rabu. Scha meluahkan rasa kesalnya menerusi satu hantaran di InstaStory. Sebelum ini, penyanyi Naim Daniel membuat pendedahan menerima ugutan bunuh serta kata-kata kesat gara-gara menasihati netizen yang terlalu berlebihan mengecam selebriti tempatan. Dalam pada itu, Scha turut berpendapat kempen berkenaan sepatutnya digerakkan secara baik dan beradab selari dengan tujuan asal iaitu memboikot jenama pro Israel. "Kalau niat baik, realisasikan dengan cara atau amalan yang baik, jangan bersifat personal. "Fitnah menfitnah, permusuhan, dengki mendengki, mewujudkan persepsi buruk... itulah realitinya," jelasnya. Sementara itu, pelakon drama Awan Dania itu dilaporkan kehilangan hampir 100,000 pengikut di Instagram dipercayai selepas namanya disenaraikan dalam gerakan Blockout2024. ARTIKEL BERKAITAN: Henti tanam kebencian, Scha Alyahya ingatkan tentang dosa sesama manusia ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara nasihat jangan melampau boikot artis, Naim Daniel terima komen kesat sampai ibu bapa pun diugut Pada Isnin lalu, isteri kepada Awal Ashaari ini menerima kritikan netizen selepas menegur netizen yang suka menjatuhkan hukum kepada seseorang. Kata Scha lagi, tiada manusia dalam dunia ini yang mampu menolak rezeki yang ditetapkan oleh Tuhan. Terdahulu, Naim membuat laporan polis terhadap seorang pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya di Balai Polis Semenyih, Selangor. Pengguna akaun itu menulis 'ini kalau jumpa mak pak hang (kau), aku sembelih hidup-hidup.' Sejak beberapa hari lalu, wujud gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin. Scha mengharapkan kempen Blockout2024 dijalankan dengan baik dan beradab. Gerakan itu dibuat sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti tanah air yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk ada kaitan dengan Israel di media sosial milik mereka. Gerakan tersebut disambut baik oleh netizen Malaysia yang juga menyenaraikan beberapa nama artis yang dipercayai melakukan kerjasama dengan jenama pro Zionis. Selain Scha, antara selebriti Malaysia yang tersenarai adalah Nadhir Nasar, Nabila Razali, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Dahlia Rizal dan ramai lagi. Rata-rata netizen mula menyahikut dan menyekat media sosial selebriti kegemaran mereka. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!