PIHAK stesen SBS di Korea Selatan menafikan laporan bahawa program Running Man versi China bakal memulakan penggambaran dalam masa terdekat ini. Portal Soompi melaporkan, pihak SBS dalam satu kenyataan menegaskan perancangan tersebut masih lagi dalam perbincangan dan tiada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu buat masa ini. "Pihak kami ingin menjelaskan pengumuman Running Man versi China yang dilaporkan sebelum ini adalah tidak benar memandangkan perancangan itu masih lagi diperingkat perbincangan. "Laporan yang dibuat oleh sesetengah media di China berhubung perkara itu adalah mengelirukan dan bukannya datang dari pihak SBS," kata kenyataan itu. Dalam pada itu, kenyataan itu turut menyebut sebarang keputusan hanya akan dibuat oleh pihak SBS selain perlu meneliti pelbagai sudut bagi memastikan program yang bakal diterbitkan itu menepati piawaian ditetapkan.