PELAKON terkenal Indonesia Wulan Guritno memberitahu dia menyediakan jadual khas bagi memastikan dapat menghabiskan masa berdua-duaan bersama suaminya, Adilla Dimitri. Portal Kapan Lagi melaporkan, Wulan berbuat demikian bagi memastikan perkahwinan mereka yang memasuki tahun kelima itu sentiasa bahagia. Selepas lima tahun berkahwin kami perlu mencari jalan supaya perkahwinan ini terus bahagia tambahan pula tekanan kerja serta telah mempunyai anak-anak membuatkan kadang-kadang hubungan kami menjadi renggang. "Sebab itulah saya membuat jadual khas supaya kami dapat menghabiskan masa berdua-duaan bagi mengeratkan lagi hubungan suami-isteri," katanya yang pernah menjadi juri program Maharaja Lawak Mega 2012. Malah kata Wulan, dia akan memastikan setiap hari Sabtu mereka akan menghabiskan masa bersama anak-anak dan melakukan pelbagai aktiviti. Manakala hari Ahad diperuntukkan untuk mereka berdua-duaan tanpa gangguan anak-anak. "Pada hari-hari biasa saya dan suami selalunya sibuk dan kadang-kadang jarang bertemu. Jadi kami memastikan hujung minggu dimanfaatkan dengan baik," jelasnya. Wulan turut memberitahu dalam jadual berkenaan dia turut menyelitkan waktu untuk dia bersama rakan-rakan.