Portal Tribunnews melaporkan Hakim Petriyanti memerintahkan Abdul Qodir atau Dul dibebaskan dan diserahkan kepada ibu bapanya pada perbicaraan yang berlangsung pada Rabu.
Pihak pendakwa raya sebelum itu dalam hujahnya memberitahu remaja 13 tahun itu bersalah kerana melanggar undang-undang di bawah Akta 310 UU Republik Indonesia 2009 iaitu melanggar peraturan lalu lintas.
Dul, 13, sebelum ini mengalami cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Tol Jagorawi Bogor pada 8 September tahun lalu.
Anggota kumpulan Lucky Laki itu ketika kejadian dilaporkan memandu kenderaan jenis Lancer Mitsubishi bersama seorang temannya untuk pulang ke Jakarta, Indonesia.
Dilaporkan seramai enam orang terkorban manakala 11 lagi cedera akibat kejadian itu.
Malah ibu bapanya mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap mangsa yang terlibat dan memberikan bantuan dari segi perubatan dan wang pampasan kepada keluarga mangsa.
Dul menerusi peguamnya juga memberitahu kesal dengan kejadian itu dan tidak akan mengulanginya lagi.