PERKAHWINAN di antara aktor Lee Byung Heon dan Lee Min Jung dilaporkan bermasalah selepas lelaki itu terlibat dalam skandal melibatkan dua orang selebriti iaitu Dahee daripada kumpulan Glam dan model, Lee Ji Yeon. Soompi melaporkan, akibat skandal melibatkan Byung Heon itu, Min Jung bertindak meninggalkan rumah mereka dan kembali tinggal dengan ibu bapanya di Gangnam, Seoul. Malah pasangan itu dilaporkan sedang dalam proses menjual rumah mewah mereka sebagai satu langkah sebelum memulakan proses perceraian. "Min Jung sangat kecewa dan patah hati dengan apa yang berlaku kerana dia tidak menyangka suami yang dikahwininya sejak setahun lalu bermain kayu tiga. "Dia kini kembali tinggal bersama orang tuanya dan dilaporkan sedang dalam proses menjual rumah mereka," ujar sumber pelakon itu. Bagaimanapun dalam satu laporan lain, Byung Heon mengakui sedang dalam proses menjual rumah tersebut namun bukan kerana mereka ingin bercerai ekoran skandal berkenaan. Sehingga kini masih belum diketahui sama ada mereka akan bercerai atau pun tidak kerana kedua-dua mereka masih belum memberikan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.