PENYANYI terkenal Madonna dilaporkan bakal membuat kemunculan istimewa pada malam final program realiti The X Factor. Daily Mail melaporkan, penyanyi berusia 56 tahun itu bersetuju untuk muncul dalam program berkenaan sekiranya diberikan kuasa untuk mengawal konsep persembahan yang bakal diadakan. Pihak penerbit iaitu Simon Cowell yang terdesak untuk mendapatkan Madonna terpaksa bersetuju dengan permintaan diva terkenal itu. Sumber turut melaporkan produksi terdesak untuk mendapatkan Madonna kerana ingin menaikkan rating program berkenaan yang rendah untuk musim terbaharu itu. "Penyanyi seperti Madonna sudah tentu mahukan kawalan terhadap kreativiti semasa kemunculannya dan ia pasti menguntungkan kepada pihak produksi terutamanya dari segi rating," kata sumber. Bagiamanapun kata sumber itu, Madonna juga harus mematuhi beberapa perkara termasuk membayar sendiri kos pentas, pemuzik dan penari pada persembahannya itu nanti," jelasnya lagi. Kemunculan penyanyi itu juga sebagai salah satu publisiti untuk album terbaharunya yang bakal dilancarkan selepas acara itu berlangsung.