PENYANYI Roy Kim sekali lagi dituduh telah memplagiat lagu komposer Kim Hyung Yong iaitu From the Landscape of the Lord dengan menghasilkan lagu Spring Spring Spring. Menurut laporan Allkpop, Hyung Yong berkata melodi Spring Spring Spring begitu mirip dengan lagu ciptaannya dan rasa curiga itu muncul saat pertama kali mendengar lagu tersebut. "Saya boleh membuktikan bahawa lagu tersebut mempunyai melodi yang sama dengan lagu saya yang dihasilkan pada tahun 2012. "Cuma ia tidak dikeluarkan lagi dan saya pernah menghantar lagu tersebut kepada seorang penerbit. Tidak tahulah jika ada pihak yang sengaja membocorkan lagu tersebut "Setakat ini saya telah membuat laporan kepada badan yang menguruskan hak cipta lagu," katanya. Sementara itu, pihak pengurusan Roy iaitu CJ E&M menyifatkan kenyataan Hyung Yong agak mengelirukan kerana lagu yang belum dikeluarkan di pasaran tidak mungkin boleh diciplak. "Pelik kerana lagu itu tidak didaftarkan atau dikeluarkan kepada umum. Macam mana Spring Spring Spring dikatakan sebagai lagu yang telah diplagiat?," soal jurucakap CJ E&M.