PENYANYI Ray J dilaporkan membuat panggilan kecemasan ke talian 999 selepas bekas kekasihnya, Princess Love mengugut untuk membunuh diri. Sumber yang melaporkan kepada TMZ berkata, Princess nekad mengambil tindakan itu selepas melihat gambar mesra Ray bersama model Karrueche Tran pada sebuah majlis beberapa jam selepas mereka berpisah. "Princess tidak mahu melepaskan Ray dan bertambah berang apabila melihat gambar lelaki tersebut dengan Karrueche dan mengugut untuk membunuh diri. "Ini bukan pertama kali mereka berpisah dan Princess tidak menyangka lelaki itu sanggup bergambar mesra dengan wanita lain sedangkan dia sedang bersedih," kata sumber. Dalam pada itu, sumber memberitahu, sebelum Princess menghantar pesanan kepada Ray untuk membunuh diri, wanita itu beberapa kali cuba menghubungi lelaki itu namun tidak berjawab. Malah semua pesanan dihantar ke telefon bimbit penyanyi itu tidak dibalas sehingga wanita itu mengugut untuk membunuh diri. Sementara itu, pihak polis telah datang ke apartmen Princess untuk menyiasat tentang dakwaan Ray namun pereka fesyen itu tidak berada di rumah. Bagaimanapun Ray kemudiannya memberitahu dia sudah dapat menghubungi Princess dan wanita itu menjelaskan dia tidak bermaksud untuk melakukan perbuatan itu.