LOS ANGELES: Bintang baharu, Sam Smith muncul sebagai pemenang terbanyak apabila memenangi empat trofi daripada enam pencalonan pada Anugerah Grammy ke-57 yang berlangsung di Staples Centre, Los Angeles, Amerika Syarikat, malam Ahad lalu (waktu tempatan). Penyanyi dan komposer muda berusia 22 tahun itu menerima pengiktirafan menerusi kategori Artis Baru Terbaik serta Rekod dan Lagu Terbaik bagi lagu popularnya, Stay With Me. Bukan itu sahaja, Smith turut memenangi Album Pop Vokal Terbaik bagi album studio pertamanya, In The Lonely Hour dengan menewaskan lima calon lain iaitu Coldplay, Miley Cyrus, Ariana Grande, Katy Perry dan Ed Sheeran. Namun, album itu gagal diiktiraf sebagai Album Terbaik yang menyaksikan kejutan apabila kemenangan berpihak kepada Beck yang memenanginya menerusi album Morning Phase. Sam turut bergandingan dengan penyanyi R&B Mary J. Blige menyanyikan lagu Stay With Me pada acara itu. Beck yang menewaskan tiga calon lain termasuk Beyonce, Ed Sheeran dan Pharrell Williams itu turut memenangi kategori Album Rock Terbaik menerusi album yang sama. Biarpun disebut-sebut akan menang besar pada majlis anugerah kali ini, namun Beyonce hanya mampu berpuas hati dengan kemenangannya apabila memenangi tiga trofi daripada enam pencalonan yang diterimanya kali ini. Dia yang memenangi kategori Album Surround Sound Terbaik menerusi album solo kelimanya, Beyonce itu turut memenangi trofi Persembahan R&B dan Lagu R&B Terbaik menerusi lagu Drunk In Love hasil kolaborasi bersama suaminya, Jay-Z. Dengan kemenangan itu, Beyonce kini sudah memiliki 20 buah trofi Grammy dan menjadikan dirinya sebagai salah seorang artis wanita yang menerima pengiktirafan terbanyak selepas Alison Krauss dan Aretha Franklin. Album Terbaik milik penyanyi Beck menerusi album Morning Phase. Malah, penyanyi lagu Listen itu juga mencipta sejarah penganjuran Grammy apabila menjadi satu-satunya artis wanita yang paling banyak dicalonkan dengan 53 pencalonan sejak tahun 2000 termasuk sewaktu bersama Destiny’s Child. Tidak ketinggalan Pharrell Williams yang turut mencipta kemenangan menerusi lagu popularnya, Happy apabila memenangi Persembahan Vokal Solo Pop Terbaik dengan menewaskan empat calon lain iaitu John Legend, Sam Smith, Taylor Swift dan Sia. Bukan itu sahaja, Williams juga memenangi dua kategori lain iaitu Muzik Video Terbaik untuk lagu Happy sementara albumnya, Girl pula diiktiraf sebagai Album Kontemporari Urban Terbaik. Percubaan pertama penyanyi sensasi, Lady Gaga merakamkan album berentak jazz membuahkan hasil apabila album duetnya bersama penghibur legenda, Tony Bennett yang berjudul Cheek To Cheek memenangi kategori Album Tradisional Pop Terbaik. Beyonce membawa pulang tiga trofi. Dalam genre country pula, bekas juara American Idol 2005, Carrie Underwood tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi trofi Grammy ketujuhnya bagi kategori Persembahan Solo Country Terbaik menerusi lagu terbarunya, Something In The Water. Bagi Album Country Terbaik pula, ia dimenangi oleh Miranda Lambert untuk album Platinum sementara Persembahan Duo/Berkumpulan Country Terbaik pula menyaksikan kemenangan berpihak kepada The Band Perry menerusi lagu Gentle On My Mind. Sementara itu, filem animasi paling laris di dunia, Frozen turut menerima pengiktirafan apabila lagu tema filem itu, Let It Go memenangi kategori Lagu Tema Terbaik sementara album runut bunyi itu pula dianugerahkan dengan trofi Album Runut Bunyi Terbaik. Album duet penghibur legenda, Tony Bennett dan Lady Gaga berjudul Cheek To Cheek memenangi kategori Album Tradisional Pop Terbaik. Sebanyak 83 kategori telah dipertandingkan dalam edisi kali ini yang merangkumi kepelbagaian genre muzik termasuk pop, rock, R&B, gospel, country, jazz, latin dan komedi. Majlis yang memberi pengiktirafan kepada industri muzik itu telah diacarakan oleh pelakon dan rapper terkenal, LL Cool J dan menyaksikan barisan artis terkenal membuat persembahan antaranya Madonna, Ariana Grande, Ed Sheeran, John Mayer, Usher, Sam Smith, Mary J. Blige, Beyonce, Common dan John Legend. Berikut adalah senarai pemenang Anugerah Grammy ke-57: 1. Album Terbaik Beck - Morning Phase 2. Lagu Terbaik Sam Smith - "Stay With Me" 3. Artis Baru Terbaik Sam Smith 4. Persembahan Duo/Berkumpulan Terbaik A Great Big World & Christina Aguilera - Say Something 5. Album Tradisional Pop Terbaik Tony Bennett & Lady Gaga - Cheek To Cheek 6. Persembahan Vokal Solo Pop Terbaik Pharrell Williams - Happy 7. Album Pop Terbaik Sam Smith - In The Lonely Hour 8. Album Rock Terbaik Beck - Morning Phase 9. Lagu Rock Terbaik Paramore - Ain't It Fun 10. Persembahan Rap Terbaik Kendrick Lamar - "I" 11. Kolaborasi Rap Terbaik Eminem Featuring Rihanna - The Monster 12. Lagu Rap Terbaik Kendrick Lamar - "I" 13. Album Rap Terbaik Eminem - The Marshall Mathers LP2 14. Persembahan R&B Terbaik Beyoncé Featuring Jay Z – Drunk In Love 15. Lagu R&B Terbaik Beyoncé Featuring Jay Z - Drunk In Love 16. Album R&B Terbaik Toni Braxton & Babyface - Love, Marriage & Divorce