PETALING JAYA: Penyanyi dan juri program Asia's Got Talent (AGT) iaitu Anggun mahu mencari bakat luar biasa yang mampu diketengahkan kepada masyarakat di seluruh dunia menerusi program itu. Anggun atau nama sebenarnya Anggun C Sasmi, 41, menjelaskan, AGT dilihat platform terbaik untuk tujuan itu memandangkan ia mendapat penyertaan peserta dari seluruh pelusuk Asia. "Program ini merupakan salah satu landasan yang terbaik kepada mereka untuk menunjukan bakat yang ada supaya dapat ditonjolkan pada masyarakat. "Ramai orang mempunyai bakat terpendam, tetapi jika mempunyai bakat sahaja tanpa usaha seseorang itu sukar untuk menyerlah dan pergi lebih jauh," katanya menerusi perbualan telefon bersama mStar Online yang diaturkan oleh pihak AXN Asia pada Isnin. AGT bakal bersiaran pada setiap Khamis pada pukul 8.30 malam di saluran AXN (Astro 701) dan untuk episod pertama akan bermula pada pada 12 Mac ini pada pukul 8.05 malam. Selain Anggun, nama besar lain yang turut dipilih sebagai juri tetap adalah pemenang Anugerah Grammy, David Foster, bekas anggota kumpulan Spice Girl, Melanie C dan penyanyi Taiwan-Amerika Van Ness Wu. Tambah Anggun, dia secara peribadi mencari seorang penghibur yang serba boleh dari segi nyanyian, tarian selain dapat menghiburkan orang ramai supaya boleh diketengahkan bakatnya di peringkat global. Jelas Anggun lagi, Asia mempunyai bakat yang luar biasa namun tidak ramai mendapat peluang untuk menyerlah lebih jauh. "Ramai orang diluar sana mempunyai bakat besar tetapi tidak cukup dengan bakat yang ada sahaja namun mereka harus berusaha untuk menonjolkan bakat yang ada supaya ia dapat diketengahkan. "Saya yakin kami akan berjumpa dengan seseorang yang mempunyai nilai luar biasa dan mampu menyerlah diperingkat global," jelasnya. Dalam pada itu, Anggun berkata, dia harus berlaku jujur dalam menilai setiap peserta supaya kritikan yang diberikan mudah difahami. "Saya harus menegur dengan cara yang betul supaya mereka mudah untuk memahami apa yang ingin disampaikan," ujarnya. Sementara itu, Anggun berkata, dia bersetuju untuk jadi juri AGT kerana dia juga merupakan peminat program berkenaan. Anggun yang sebelum ini pernah terkenal dengan lagu berjudul 'Snow On the Sahara' mencipta nama sebagai penyanyi antarabangsa pertama dari Indonesia.