PEMENANG pingat emas Olimpik, Bruce Jenner, yang juga bekas bapa tiri kepada selebriti siri realiti, Kim Kardashian akan mendedahkan bagaimana dia kini bersiap sedia untuk bertukar menjadi seorang wanita. Pendedahan itu dibuat dalam satu wawancara khas dengan stesen televisyen ABC yang akan disiarkan pada 24 April ini. Inilah buat pertama kalinya Jenner akan membicarakan secara terbuka tentang dirinya sebagai seorang transgender. Sebelum ini dia telah menjadi subjek popular di kalangan media Amerika Syarikat yang mengatakan yang Jenner sedang bertukar menjadi seorang wanita. Tetapi, klip promosi terbaru ABC tentang wawancara eksklusif yang dijalankan oleh wartawan penyiaran Diane Sawyer dengan Jenner memberi indikasi yang mereka akan membicarakan secara khusus tentang proses pertukaran jantina tersebut. "Seluruh hidup saya adalah untuk bersedia kepada ini," ujar Jenner dalam klip promosi itu. Kim Kardashian Wawancara itu dikatakan berlangsung selama dua jam. Jenner, 65, adalah pemenang pingat emas Olimpik dalam acara dekatlon pada tahun 1976 di Montreal, Kanada, mewakili Amerika Syarikat, telah mengekalkan gaya hidup 'low profile' sejak dia terlibat dalam satu kemalangan yang mengorbankan seorang pemandu kereta lain pada 7 Februari lalu. Ketika kemalangan itu berlaku dia dikatakan sedang menggunakan telefon bimbitnya. Menurut laporan media, Jenner telah pun memaklumkan kepada ahli keluarga termasuk bekas isterinya yang dia adalah seorang transgender dan sedang bertukar menjadi seorang wanita Media massa melaporkan salah satu sebab mengapa dia mengambil keputusan untuk bercerai dengan Kris Jenner, iaitu ibu kepada Kim Kardashian ialah untuk memberi ruang kepada dirinya sendiri bertukar dari seorang lelaki kepada wanita.