PELAKON Lee Byung Hun sekali lagi menerima tawaran berlakon dalam filem Hollywood menurut laporan media Amerika Syarikat baru-baru ini. Lee dilaporkan terpilih untuk memegang watak sebagai Billy Rocks menerusi filem The Magnificent Seven yang pernah dihasilkan pada tahun 1960. Filem berkenaan bakal diarahkan oleh Antoine Fuqua dan Lee bakal berlakon disamping aktor terkenal Denzel Washington, Chris Pratt, Ethan Hawke dan Vincent D'Onofrio. The Magnificent Seven adalah projek kelima Lee di Hollywood. Lee sebelum ini pernah muncul dalam filem seperti G.I. Joe, Red 2 dan Terminator Genisys yang masih menunggu tayangan.