KEJUTAN istimewa buat aktor Yoo Chun apabila 1,500 peminatnya dari Jepun sanggup terbang ke Korea Selatan bagi bertemu dengannya. Soompi melaporkan, Yoo Chun dijangka ke Tokyo pada Jun depan untuk bertemu peminatnya namun tidak menyangka mereka terlebih dahulu memberi kejutan kepadanya. "Mereka semua berkumpul di sebuah hotel pada 24 Mei lalu sebelum Yoo Chun muncul dalam dewan berkenaan dan terkejut melihat ia dipenuhi peminat setia. "Dia sangat terperanjat dan langsung tidak menyangka peminat dari Jepun sanggup datang," kata wakil pelakon itu. Pada pertemuaan tersebut, Yoo Chun turut menyanyikan sebuah lagu berjudul I'm So Fortunate khas buat semua yang hadir. Populariti Yoo Chun melonjak naik di Jepun selepas drama lakonannya The Girl Who Can Sees Smells mendapat rating tinggi. Dalam pada itu, pelakon itu sempat memberitahu peminatnya dia kini dalam proses menyiapkan drama terbaharu berjudul Lucid Dream.