suria

Johnny Depp Jual Kediaman Mewah Berusia 200 Tahun

Johnny Depp mengambil keputusan menjual ladang berusia 200 tahun miliknya di Selatan Perancis.

BINTANG filem Hollywood Johnny Depp mengambil keputusan menjual kediaman mewah berusia 200 tahun miliknya yang sebelum ini dijadikan sebagai tempat percutian.

Pelakon tersebut menjual ladang berkeluasan 37 ekar di St Tropez, Selatan Perancis dengan harga 23 juta Euro (RM97.59 juta).

Sebelum ini Depp sering berkunjung ke ladang berkenaan bersama bekas teman wanitanya yang merupakan pelakon dan penyanyi kelahiran negara itu, Vanessa Paradis.

Barangan seperti perabot, buku-buku, karya seni pelakon Hollywood itu dan barangan peribadi turut dijual bersama kediaman berkenaan kepada pembeli.

Ladang berkeluasan 37 ekar itu turut dilengkapi dengan dua buah kolam renang. 

Sebuah bilik dihias dengan tema filem lakonannya Pirates of the Caribbean dengan tengkorak berwarna terang menghiasi dinding dan perabot di dalam bilik tersebut.

Depp dilaporkan menghias sendiri hampir keseluruhan kawasan tersebut dan telah menghabiskan wang berjuta-juta bagi pengubahsuaian bagi membolehkan dia meluangkan masa bersama Paradis serta dua anak mereka.

Rumah percutian tersebut juga mempunyai gereja yang telah diubah suai menjadi rumah tetamu selain sebuah kafe, dua buah kolam renang, gimnasium, serta taman skate untuk anak-anaknya, Jack dan Lily-Rose.

Ejen hartanah yang menguruskan penjualan rumah mewah tersebut, Alexander Kraft memberitahu, Depp nekad menjual ladang berkenaan untuk menutup kisah hidupnya bersama Paradis selepas mereka berpisah dua tahun lalu.

Depp mengubah suai ladang berkenaan agar kelihatan seperti sebuah perkampungan kecil.

"Dia menghias segala-galanya dan memberi perhatian kepada butiran paling kecil dan turut menjual semua barangan terkandung di dalamnya seperti buku, DVD, perabot, dan juga beberapa hasil seni," kata Kraft.

Gambar-gambar rumah percutian eksklusif yang dipamerkan di laman web ejen hartanah itu memberi sekilas pandangan mengenai kehidupan peribadi pelakon itu.

Selepas berpisah dengan Paradis, aktor berusia 52 tahun itu berkahwin dengan model, Amber Heard yang 23 lebih muda daripada Depp pada Februari lalu namun khabar angin mengenai rumah tangga mereka bergoyah mula tersebar.

Depp membeli 'Plan de la Tour' pada 2001 yang pada ketika itu merupakan kawasan terbiar dan ditinggalkan dari abad ke-18 dan menghabiskan sekitar 10 juta Euro (RM42.44 juta) bagi pengubahsuaian struktur kawasan tersebut.

Hiasan dalaman sebuah bilik yang bertemakan Pirates of the Caribbean.

Kediaman sebesar 4,300 kaki persegi, dengan lima bilik tidur, tiga bilik mandi dan sebuah studio seni bagi melakukan aktiviti kegemarannya iaitu melukis adalah bangunan utama dalam ladang berkenaan.

Turut terdapat di kawasan tersebut adalah rumah tetamu, garaj, bengkel, serta sebuah rumah untuk kakitangannya.

Ladang tersebut terletak 30 batu arah timur dari istana milik Brad Pitt dan Angelina Jolie dan pasangan Hollywood itu dilaporkan dalam perbincangan untuk membeli keseluruhan Pulau Greek supaya pasangan tersebut bersama anak-anak mereka tidak terdedah kepada paparazzi.

Johnny Depp.

Artikel Lain