suria

Salman Khan Mohon Maaf Status Twitter Dalang Letupan Bom Mumbai

Salman Khan sekali lagi mencetuskan kontroversi.
NEW DELHI: Pelakon terkenal Bollywood Salman Khan menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan menerusi Twitter mengenai dalang di sebalik kejadian letupan bom di Mumbai pada 1993 yang meragut 257 nyawa dengan 1,400 orang lagi mengalami kecederaan.

Salman turut membuat permohonan maaf tanpa syarat dan menyatakan beliau tidak pernah berniat untuk membayangkan bahawa pesalah kes letupan itu, Yakub Memon tidak bersalah.

Dalam siri status beliau pada Ahad lalu, Salman mempertahankan Yakub yang dijadualkan akan digantung di Penjara Pusat di Nagpur pada 30 Julai selepas gagal dalam rayuannya.

Pelakon berusia 49 tahun itu mendakwa Yakub tidak bersalah dan dalang sebenar kejadian itu adalah adik Yakub sendiri yang dikenali sebagai Tiger Memon dan lelaki itu sepatutnya menghadapi hukuman gantung sampai mati kerana peranannya dalam insiden berkenaan.

Salman dulaporkan menyifatkan Tiger sebagai 'serigala' yang bersembunyi di Pakistan dan mahu kerajaan negara itu membuat pengesahan.

Para penyokong parti-parti politik diketuai oleh BJP dan sayap radikalnya RSS, kecewa dengan kenyataan Salman bahawa kerajaan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa Tiger Memon ke muka pengadilan.

Sementara itu, bapa Salman, Salim Khan mendakwa anaknya itu 'jahil' dalam isu berkenaan dan memberitahu Times Now bahawa perkara ditulis oleh aktor itu tidak disokongnya.

Sejak beberapa hari lalu, perdebatan berhubung isu berkenaan hebat diperkatakan di India dan keputusan menggantung Yakub adalah perkara tepat untuk dilakukan.

Beberapa penyokong mendakwa bahawa Yakub, seorang akauntan bertauliah, tidak pernah terbabit dalam pengeboman pada 1993.

Bagaimanapun, beliau telah ditangkap dan disabitkan dengan konspirasi jenayah, mengatur wang untuk membeli kenderaan yang digunakan oleh pengebom dan menguruskan tiket penerbangan ke Dubai untuk mereka yang melakukan konspirasi.

Petisyen rayuan terhadap Yakub kepada gabenor Maharashtra juga ditolak sebelum Yakub membuat permohonan menggantung pelaksaan hukuman tersebut di Mahkamah Tinggi.
Salman Khan.

Artikel Lain