KESIBUKAN terhadap kerjaya seni menjadi punca perpisahan dua selebriti terkenal Korea Selatan iaitu Lee Seung Gi dan Yoona dalam kumpulan Girls Generation. The Korea Herald melaporkan perpisahan pasangan berkenaan disahkan sendiri oleh pihak pengurusan Yoona, SM Entertainment. "Mereka berpisah kerana kesibukan terhadap kerjaya seni masing-masing. Bagaimanapun keputusan itu dibuat secara baik dan mereka masih kekal sebagai rakan," kata wakil agensi berkenaan. Awal tahun ini, pasangan berkenaan mengesahkan desas-desus mengenai percintaan mereka dan mengakui sudah menjalinkan hubungan sejak Oktober 2013. Bagaimanapun keretakan hubungan mereka mula dihidu peminat selepas Yoona dalam satu temubual memberitahu aktiviti bersama Girls Generation menjadi fokus utamanya dan bukan hal peribadi.