MODEL dan hos saluran MTV iaitu Sam Sarpong meninggal dunia pada Isnin lalu pada usia 40 tahun selepas melompat daripada sebuah jambatan di Pasadena, California pada Isnin lalu. E! Online melaporkan pihak polis mengesahkan Sam meninggal dunia kerana membunuh diri dan sedang menunggu laporan bedah siasat. "Pihak kami ingin mengesahkan Sam Sarpong telah meninggal dunia pada Isnin lalu. Bagaimanapun kami tidak dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai kematiannya memandangkan ia sedang disiasat oleh pihak berkuasa. "Keluarga Sam juga ingin mengucapkan terima kasih atas doa dan sokongan peminat pada saat sukar ini," kata jurucakap Sam dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis. Sam sebelum ini terkenal menerusi rancangan MTV Yo Momma selain pernah berlakon dalam beberapa drama bersiri seperti My So-Called Life, Family Matters, Pacific Blue dan Boston Public.