PELAKON Terry Crews yang popular menerusi filem seperti The Expendables dan White Chick secara terbuka mengakui ketagih menonton filem lucah. Terry, 47, mendedahkan dia juga terpaksa mendapatkan bantuan terapi kerana masalah tersebut yang hampir memusnahkan perkahwinannya. Pendedahan itu dibuat sendiri oleh pelakon tersebut menerusi beberapa siri video di Facebook miliknya baru-baru ini. "Pornografi di internet sangat merbahaya dan ia hampir memusnahkan rumah tangga saya selain perkara lain dalam hidup saya. "Apabila anda banyak menghabiskan dengan menonton filem lucah sehingga mengabaikan perkara lain itu petanda anda ketagih dengan pornografi. "Saya berkongsi perkara memalukan ini kerana ia satu masalah besar dan ingin memberi inspirasi kepada orang lain yang turut mengalami perkara sama," katanya dalam video berkenaan seperti dilaporkan Huffington Post. Terry turut mendedahkan dia mula menonton pornografi ketika usianya 12 tahun dan hanya menyedari ia satu masalah apabila umurnya mencecah 40 tahun.