PENYANYI terkenal Mariah Carey dilaporkan enggan membantu membayar bil perubatan kakaknya, Alison Carey yang bakal menjalani pembedahan dalam masa terdekat ini. Daily Mail melaporkan abang kepada penyanyi itu, Morgan Carey, 51, menyelar sikap Mariah yang mengabaikan kakak mereka dan menggelarnya sebagai perempuan sihir jahat. "Kakak anda sedang dalam keadaan nazak dan memerlukan bantuan tetapi dimana kamu? Kamu rasa kamu hebat tetapi sebenarnya kamu tidak ubah seperti perempuan sihir jahat," katanya. Dedah Morgan, dia cuba menghubungi Mariah tetapi penyanyi itu enggan melayan permintaan tersebut dan kesal dengan sikap adiknya itu. Lelaki itu turut mendakwa sikap Mariah sejak beberapa tahun kebelakangan ini mula berubah dan menyifatkan penyanyi lagu Hero itu seorang yang mementingkan diri dan berlagak diva. Kakak Mariah, Alison penghidap HIV-positif sejak tahun 1994. Terdahulu, hubungan Mariah dan kakaknya yang berusia 54 tahun dingin sejak tahun 1994 selepas wanita yang disahkan menghidap HIV-positif itu mengugut mahu mendedahkan kisah hidup Mariah dalam sebuah buku. Mariah sebelum ini dilaporkan sudah menghabiskan wang yang banyak untuk membantu Alison namun kecewa dengan sikap kakaknya itu yang enggan berubah dan masih melacur dan menghisap dadah. Mengulas mengenai pertunangan adiknya itu dengan jutawan James Packer, 48, Morgan berkata dia tidak percaya Mariah cintakan lelaki itu kerana kehidupan penyanyi itu hanya berkisarkan tentang dirinya sendiri. "Mariah barangkali lebih cintakan cincin pertunangan yang bernilai jutaan dolar daripada James sendiri," katanya. Penyanyi itu yang kini sedang mengadakan konsert jelajah di Eropah bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan abangnya itu.