PELAKON Kim Min Suk mendapat pujian daripada penonton apabila bertindak membotakkan kepalanya dalam satu babak episod 15 drama bersiri lakonannya, Doctors. Min Suk menerusi syarikat pengurusannya, Woolim Entertainment dalam satu kenyataan berkata, aktor itu tidak dipaksa berbuat demikian sebaliknya ia atas kemahuannya sendiri. "Dia seorang yang berdedikasi terhadap tanggungjawab diberikan kepadanya dan tidak hairan dia bertindak membotakkan kepalanya dalam Doctors. "Min Suk benar-benar menjiwai wataknya sebagai Dr. Choi Kang Soo dan keberaniannya itu harus dipuji. Lakonan Min Suk menyentuh perasaan penonton. "Krew produksi tidak memaksanya berbuat demikian tetapi ia kemahuannya sendiri kerana mahu babak berkenaan nampak asli," kata wakil daripada syarikat berkenaan seperti dilaporkan Soompi. Menerusi episod berkenaan Dr. Choi disahkan menghidap ketumbuhan dalam otak dan dia mengambil keputusan membotakkan kepalanya sendiri sebelum menjalani pembedahan. Peminat setia drama bersiri itu bagaimanapun terpaksa bersabar untuk mengetahui mengenai keadaan Dr. Choi apabila episod terbaharunya ditangguhkan tayangan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada siaran sukan Olimpik yang sedang berlangsung.