suria

Jennifer Lopez & Marc Anthony Kembali Bersama

Marc Anthony bakal bertindak sebagai penerbit ekskutif album terbaharu bekas isterinya, Jennifer Lopez.

PENYANYI Jennifer Lopez bakal kembali bekerjasama dengan bekas suaminya, Marc Anthony menerusi penerbitan album berbahasa Sepanyol keduanya.

Billboard melaporkan Marc bakal bertindak sebagai penerbit eksekutif album berkenaan yang dijangka berada di pasaran tahun hadapan.

Pada 2007, Marc turut menjadi penerbit bagi album berbahasa Sepanyol pertama penyanyi berusia 46 tahun itu yang berjudul Como Ama Una Mujer.

"Saya teruja dengan penerbitan album terbaharu ini kerana dapat meraikan darah latin dalam diri saya bersama Marc Anthony," katanya dalam satu kenyataan.

Album berkenaan diterbitkan oleh Sony Music Latin dengan kerjasama Magnus Family yang dimiliki oleh Marc.

Untuk rekod, Jennifer dan Marc berkahwin pada 2004 dan bercerai 10 tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan sepasang cahaya mata kembar iaitu Maximilian David dan Emme Maribel yang kini berusia lapan tahun.

Dalam pada itu, Marc dalam satu kenyataan berkata, dia teruja dengan kolaborasi bersama Jennifer selain menyifatkan wanita berkenaan seorang profesional dan mempunyai minat mendalam terhadap muzik.

"Jennifer mempunyai pelbagai pencapaian sepanjang kariernya selain sering mempromosikan budaya latin ke serata dunia.

"Saya teruja untuk bertindak sebagai penerbit album itu nanti dalam memastikan legasi muziknya dapat diteruskan," katanya.

Jennifer Lopez, Marc Anthony

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan