PENYANYI rap Azealia Banks mendakwa aktor terkenal Hollywood, Russell Crowe menyerangnya secara fizikal selain mengeluarkan kata-kata kesat bersifat perkauman terhadapnya. Daily Mail melaporkan, ketika kejadian Azealia menghadiri parti dianjurkan Russell di Hotel Beverly Hills, Los Angeles sebelum pelakon itu tiba-tiba mencekik dan meludah ke mukanya. "Saya hadir ke parti berkenaan di bilik suite Russell sebelum dia mengeluarkan kata-kata berbaur rasis, mencekik saya dan meludah muka saya. "Malam itu merupakan paling teruk sehingga saya tidak boleh tidur. "Lelaki yang ada pada parti saya membenarkan perkara itu berlaku dan saya rasa sangat teruk," katanya menerusi status di Facebook miliknya. Azealia bagaimanapun memadam status berkenaan selepas beberapa individu yang menghadiri parti sama tampil memberikan cerita berbeza. Menurut sumber, Azealia dalam keadaan mabuk pada malam itu dan sikapnya di luar kawalan sehingga memaksa Russell mendukungnya keluar daripada parti itu. "Dia bertindak diluar kawalan dan ia menggangu tetamu lain kerana ia adalah parti tertutup. "Russell terpaksa mengangkatnya keluar sebelum dia bertindak ganas," kata sumber itu. Sumber lain pula memberitahu, tindakan Russell itu juga disebabkan Azealia membuatkan kenyataan merapu terhadap Russell dan mengugut untuk mengelar leher pelakon itu.