BINTANG realiti Kim Kardashian menerima tawaran lumayan daripada beberapa stesen televisyen untuk bercakap mengenai kejadian dia dirompak di Paris baru-baru ini. Bagaimanapun saluran NBC yang turut menyiarkan program realiti Keeping Up with the Kardashians dijangka mendapat temubual ekseklusif bersama bintang terkenal itu. Walaupun program realiti keluarga Kim disiarkan di saluran berkenaan namun NBC dilaporkan tetap menawarkan bayaran jutaan dolar sekiranya wanita itu bersetuju membuat temubual berkenaan. "Kejadian Kim dirompak menggemparkan seluruh dunia dan ia adalah berita paling sensasi tahun ini. "Sehingga hari ini Kim masih belum membuka mulut tentang kejadian itu dan semua stesen mahukannya untuk mengadakan sesi temubual. "Tawaran dibuat juga cukup lumayan dan kini terserah kepada Kim untuk membuat keputusan," kata sumber seperti dilaporkan The Sun. Dalam pada itu, NBC turut memberi pilihan kepada Kim untuk memilih wartawan untuk ditemubual sekiranya dia bersetuju untuk diwawancara. "NBC sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan Kim kerana mereka kini panik stesen seperti ABC akan membuat tawaran lebih baik," kata sumber itu lagi. Terdahulu, Kim dilaporkan mengalami kerugian bernilai jutaan dolar selepas barang kemasnya dilarikan perompak yang memasuki apartmennya di Paris. Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang penahanan dilakukan dan polis masih memburu penjenayah tersebut.