PENYANYI Avril Lavigne dan Ryan Cabrera dikatakan sakan bercinta apabila mereka dilihat sering bersama sejak akhir-akhir ini. Terbaharu, E Online melaporkan pasangan itu dilihat mesra dan berpelukan ketika menikmati makan malam di sebuah restoran mewah di New York baru-baru ini. Sumber memberitahu, Avril dan Ryan seperti tidak dapat dipisahkan apabila mereka asyik berpelukan dan bercium tanpa memperdulikan pelanggan lain yang turut berada dalam restoran berkenaan. "Avril nampak sangat manja dalam pelukan Ryan dan mereka nampaknya sedang mabuk cinta," kata sumber itu. Pasangan itu sudah berkawan sejak 12 tahun lalu namun hubungan itu kembali rapat sejak Avril berpisah dengan suaminya, penyanyi Chad Kroeger tahun lalu. Pada masa sama, Ryan juga mengalami keruntuhan rumah tangga apabila turut bercerai dengan isterinya, Katie Krause. Avril, 32, sebelum ini pernah berkahwin dengan Deryck Whibley pada 2006 namun bercerai empat tahun kemudian. Penyanyi lagu I'm With You itu kemudiannya berkahwin dengan Chad pada 2013 sebelum berpisah pada 2015.