PENGACARA terkenal Jimmy Kimmel mendedahkan dia hanya dibayar sebanyak AS$15,000 (RM66,000) sebagai hos Anugerah Oskar ke-89 yang bakal berlangsung pada 26 Februari depan. Daily Mail melaporkan Jimmy mendedahkan perkara itu ketika dia ditemubual menerusi sebuah program radio berkenaan tugas yang bakal digalasnya itu. "Saya rasa ia adalah satu kesalahan untuk tidak membayar apa-apa kepada pengacara. "Saya tidak tahu sama ada saya boleh dedahkan perkara ini atau pun tidak, tetapi benar saya hanya dibayar AS$15,000," katanya. Pendedahan itu membuatkan ramai terkejut dengan jumlah bayaran itu yang disifatkan sebagai rendah berbanding nilai sebenar pengacara itu. Dalam pada itu, Jimmy turut memberitahu pemilihannya hanya dibuat selepas 14 lagi calon menolak menjadi hos acara berprestij itu. Anugerah Oskar bakal berlangsung di Dolby Theather, Hollywood.