ANGELINA Jolie menegaskan bahawa diskriminasi terhadap pelarian berdasarkan agama atau negara asal mereka boleh "mengundang ketidakstabilan yang sedang dilindungi." Katanya, keputusan Amerika Syarikat untuk menggantung penempatan pelarian dan pelawat dari beberapa negara majoriti Islam bukanlah cara yang diamalkan negara Uncle Sam itu. "Setiap kali kita menyimpang daripada nilai-nilai murni, kita memburukkan lagi masalah yang kita cuba bendung," kata Jolie. "Menutup pintu kepada pelarian atau diskriminasi di antara mereka bukan cara kita dan tidak menjadikan kita lebih selamat," tambah pelakon itu. Sebagai Duta Khas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) sejak 2012, Jolie berkata pelarian perlu diberikan perlindungan khususnya rawatan perubatan yang baik. "Pelarian yang ingin memasuki Amerika Syarikat sudah menjalani pemeriksaan yang menyeluruh oleh pelbagai agensi persekutuan," katanya. Selain itu pelakon berkenaan turut memberi amaran kepada Trump. "Jika kita menghantar mesej bahawa ia sesuatu yang boleh diterima dengan tindakan menutup pintu kepada pelarian atau mendiskriminasi antara mereka atas dasar agama, kita bermain dengan api. "Kita menyalakan fius yang akan membakar seluruh dunia," katanya memberi amaran.