KUMPULAN muzik terkenal Bee Gees akan diraikan dalam sebuah konsert tribute khas bagi meraikan ulangtahun ke-40 album mereka Saturday Night Fever. Los Angeles Times melaporkan konsert yang dianjurkan oleh pihak Akademi Rakaman, CBS dan AEG Ehrlich Venterus itu bakal menghimpunkan nama-nama besar untuk mengadakan persembahan seperti John Legend, Celine Dion, Ed Sheeran dan Andra Day. Turut mengambil bahagian pada acara itu adalah Little Big Town, Nick Jonas, Tori Kelly, Keith Urban dan Demi Lovato. Satu-satunya anggota Bee Gees yang masih hidup iaitu Barry Gibb dijangka akan hadir pada acara itu. Dua lagi ahlinya, Maurice Gibb meninggal dunia pada 2003 diikuti oleh Robin Gibb pada 2012. Konsert Stayin' Alive: A Grammy Salute to the Music of Bee Gees itu akan dirakamkan pada 14 Februari ini di Microsoft Theater untuk siaran saluran CBS. Album Saturday Night Fever mencatat sejarah apabila menduduki tangga pertama carta Billboard 200 selama 24 minggu di antara tahun 1977 hingga 1978. Sementara itu, Presiden Akademi Rakaman, Neil Portnow berkata Bee Gees bukan sahaja mengenai lagu-lagu hit yang dihasilkan tetapi trio adik-beradik itu melangkau generasi yang memberi impak kepada industri muzik sehingga hari ini. Album Saturday Night Fever terjual 15 juta unit di Amerika Syarikat dan ia turut menerima trofi Album Terbaik pada Anugerah Grammy 1978.