PELAKON Lee Dong Wook membuktikan masih diminati apabila tiket acara bersama peminat iaitu 4 My Dear habis terjual hanya dalam masa 60 saat. Koreaboo melaporkan 1,500 tempat duduk yang disediakan habis sejurus selepas ia dilancarkan pada 10 Februari lalu menerusi penjualan menerusi laman web. Program berkenaan akan diadakan pada 12 Mac depan di Bluesquare Samsung Card Hall, Seoul. Tiket bertemu dengan Lee Dong Wook habis dijual dalam masa 60 saat. Malah kekecohan berhubung majlis berkenaan sudah pun bermula beberapa hari tiket dijual apabila peminat mula berbincang mengenainya di forum dan laman sosial. Nama Dong Wook kembali digilai peminat apabila dia muncul dalam drama bersiri Goblin bersama Gong Yoo. Dalam pada itu, selepas Seoul, Dong Wook juga akan menjelajah beberapa negara di Asia untuk bertemu peminatnya bermula April depan.