PELAKON Bollywood Bipasha Basu pada Sabtu menjelaskan dakwaan melanggar kontrak kerana tidak tampil pada majlis India - Pakistan London Fashion Week. Seperti dipetik Pinkvilla, dalam satu kenyataan yang dihantar kepada media, Bipasha menjelaskan kronologi kejadian yang berlaku di London sehingga menyebabkan dia tidak muncul pada majlis berkenaan. Tambahnya dia mempunyai alasan sendiri yang berpunca dia tidak hadir pada majlis fesyen bertaraf antarabangsa itu. Katanya, dia belum menyatakan sebarang persetujuan untuk berada pada majlis berkenaan berikutan masalah tawar menawar harga yang tidak mencapai kata sepakat. "Saya belum menyatakan persetujuan untuk hadir kerana mereka belum menetapkan harga yang perlu dibayar jika saya hadir di majlis itu. Saya sudah berada di sana namun wajar untuk saya tidak hadir kerana pihak mereka sendiri tidak memenuhi syarat yang ditetapkan," ujarnya. Selain itu, dia menjelaskan tentang khabar angin dia ditinggalkan oleh pengurusnya di sana, Bipasha berkata, dia memberi ruang kepada pengurusnya untuk menghabiskan masa bersama keluarganya. Dia mengakui sengaja memilih untuk berjalan-jalan seorang diri tanpa ditemani penjaga sepanjang berada di London.