PELBAGAI helah dilakukan peminat untuk mendekati selebriti kesayangan mereka termasuk sanggup mencederakan diri sendiri. Namun bagi pelakon Moon Chae Won, tindakan keterlaluan yang dilakukan peminat tidak dikenali menimbulkan rasa kurang senang terutamanya kebimbangan berhubung isu keselamatan. Terbaharu, aktres itu dikatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna media sosial yang mengaku sebagai teman lelakinya. Menurut laporan portal koreaboo.com, Moon Chae Won dan agensi yang dinaunginya iaitu Namoo Actors memandang isu berkenaan sebagai sesuatu yang serius. Ia susulan satu posting di Internet di mana pengguna berkenaan mendakwa sebagai teman lelaki Moon Chae Won sejak 2015. "Saya telah menjadi teman lelaki Moon Chae Won sejak 2015. "Jika anda boleh buktikan ia adalah palsu, saya akan mematahkan jari saya sendiri," tulis lelaki itu. Menurut undang-undang Korea Selatan, komen berniat jahat yang mengandungi fakta palsu boleh dikenakan hukuman sehingga tujuh tahun penjara atau denda sehingga 50 juta Won (USD 44,174). Selain itu individu terbabit juga boleh dihukum kerana fitnah secara umum yang membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau fitnah menerusi penerbitan yang membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara.