ALBUM terbaharu G-Dragon berjudul Kwon Ji Yong menjadi perdebatan peminat apabila penyanyi itu melancarkan album dalam bentuk pemacu kilat (USB). Peminat anggota kumpulan Big Bang itu rata-rata menyifatkan idea melancarkan album itu dalam bentuk USB sangat bijak dan menjangkakan lebih ramai artis mengikut jejak langkahnya selepas ini. Malah ada yang menyifatkan album itu akan menggantikan cakera padat (CD) dalam bentuk fizikal yang semakin dilupakan apabila pembeli kini lebih gemar membeli album atau pun lagu seara digital. "Idea melancarkan album dalam bentuk USB sangat mengagumkan dan ia mudah untuk mendengar di mana sahaja," kata salah seorang peminatnya seperti dilaporkan Koreaboo. Kwon Ji Yong bukan sahaja memuatkan lagu malah foto eksklusif dan video yang boleh ditonton dan di muat naik ke komputer atau telefon pintar. Album Kwon Jin Yong dilancarkan dalam bentuk USB. Bagaimanapun carta album di Korea Selatan tidak mengiktiraf ia sebagai album fizikal dan tidak memasukkan jualan Kwon Jin Yong dalam carta album. Namun carta Billboard yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengambil kira ia sebagai sebuah album dan tidak mengenepikan daripada ia disenaraikan dalam carta jualan album. G-Dragon mempertahankan tindakannya melancarkan album itu dalam bentuk USB sebagai langkah mengikut perubahan landskap industri muzik ketika ini. "Semua perkara ada baik dan buruknya namun daripada segi penjualan album, kita perlu sedar bahawa ia mengalami perubahan daripada kaset ke CD dan sekarang era digital. "Paling penting adalah muzik yang baik dan mampu memberi impak kepada pendengar dan bukannya dalam apa bentuk ia dikeluarkan," katanya.