USIA model terkenal, Cara Delevingne baru mencecah 25 tahun namun dia sudah mencapai pelbagai kejayaan lebih daripada orang lain. Baru-baru ini, Cara telah terbang ke Mexico untuk menyambut ulang tahun kelahiran bersama rakan-rakan selebritinya pada 12 Ogos lalu. Menerusi laman Instagram pelakon dan penyanyi ini pada Ahad, dia dilihat seronok menikmati aktiviti seperti menyelam, terjun udara dan bersiar-siar dengan kapal layar. Selebriti terkenal meraikan ulang tahun kelahiran Cara di Mexico. Ramai selebriti terkenal yang turut serta termasuklah Suki Waterhouse, Georgia May Jagger dan Jaime Winstone. Kakak sulung Cara iaitu Poppy Delevingne juga ada bersama untuk meraikan hari lahir adiknya. "Saya sangat bertuah memiliki rakan-rakan yang sangat hebat. Terima kasih kerana sentiasa memberi inspirasi dan menyokong saya. #sexico," tulis Cara menerusi akaun Instagramnya. Dalam pada itu, Cara telah mengalahkan Kate Moss dengan bayaran sebagai model paling tertinggi pada bulan lalu.