BINTANG realiti Kylie Jenner mendedahkan dia mula membuat suntikan pada bibirnya agar kelihatan lebih menarik sejak berusia 15 tahun. Mendedahkan perkara itu menerusi program realitinya, Life of Kylie, dia memberitahu kekurangan keyakinan diri punca utama dia mengambil tindakan drastik mengubah penampilannya. "Saya pernah menyukai seorang lelaki dan dia tidak menyukai bibir saya yang kelihatan nipis dan kata-katanya itu membuatkan saya kehilangan keyakinan diri. "Ia membuatkan saya hilang semangat dan sentiasa merasakan diri saya tidak cantik," katanya dalam satu babak dia bertemu ahli terapi dalam program itu. Sejak 2014, spekulasi Kylie melakukan pembedahan pada bahagian bibirnya mula menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminatnya namun dia menyangkal dakwaan tersebut. Kylie juga didakwa melakukan beberapa lagi pembedahan plastik pada tubuhnya dan dia diselar teruk oleh peminat kerana usianya masih muda.