suria

VAV Langgar Pantang Di Malaysia

PETALING JAYA: Kumpulan Kpop VAV terpaksa melupakan rutin diet ketat yang diamalkan mereka semenjak berkunjung ke Malaysia sejak minggu lalu.

Vokalis utama VAV, Baron, berkata, kepelbagaian dan keenakan makanan yang terdapat di negara ini membuatkan mereka tidak mengendahkan diet sebagai persiapan kemunculan semula kumpulan itu bulan hadapan.

"Kami akan buat kemunculan semula pada Khamis ini jadi kami seharusnya menjaga fizikal dan mengikuti diet ketat agar penampilan kami tampak menarik.

"Tapi nampaknya sejak datang ke Kuala Lumpur kami seperti sudah lupakan diet... Mana tidaknya banyak makanan sedap di sini!," kata Baron.

Peminat yang membanjiri Sunway Pyramid bagi bertemu VAV.

VAV ditemui sewaktu sidang media yang diadakan di Sunway Pyramid baru-baru ini.

Mereka turut membuat kemunculan pada sesi bertemu peminat di lokasi sama sebagai mempromosikan kemunculan semula mereka dalam industri muzik.

Selain Baron, VAV turut dianggotai oleh St. Van, ACE, Anyo, Jacob, Lou dan Ziu.

Tambah penyanyi rapnya iaitu Lou pula, antara makanan yang paling digemari sepanjang berada di Malaysia ialah roti canai, roti nan dan nasi lemak yang menjadi kegemaran rakyat negara ini.

VAV turut mengadakan persembahan buat peminat.

Dalam pada itu, VAV sempat menghiburkan 500 peminat yang membanjiri lokasi itu sejak awal pagi.

Paling istimewa, VAV turut menyanyikan lagu baharu berjudul She's Mine yang hanya akan dilancarkan secara rasmi di Korea Selatan pada Khamis ini.

Sementara itu, salah seorang peminat VAV iaitu Nicole, 19, mengakui teruja untuk berjumpa artis pujaannya buat pertama kali.

"Saya mula meminati mereka sejak tahun 2015... Walaupun mereka tidak begitu popular, mereka ada tarikan tersendiri yang membuat saya jatuh cinta.

Nicole teruja dapat bertemu VAV.

"Saya sebenarnya datang seorang diri sahaja. Sampai di sini, saya bertemu ramai kawan baharu," ujarnya.

Menurut seorang lagi peminat, Anis Suriani, 32, dia meluahkan rasa syukur kerana acara ini diadakan secara percuma.

Katanya, jika perlu membayar tiket sekalipun dia tetap akan hadir kerana tidak mahu melepaskan peluang bertemu empat mata dengan artis pujaannya.

Anis memenangi poster daripada VAV.

Sewaktu acara itu, Anis turut memenangi poster eksklusif menerusi kuiz yang diadakan bersama VAV.

Dalam pada itu, kumpulan VAV meluahkan rasa terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat di negara ini.

Mereka turut berharap agar peminat di Malaysia terus menberi sokongan sehingga mereka menjadi setaraf dengan kumpulan lain seperti Big Bang, BTS dan EXO.

VAV, Kpop

Artikel Sebelum

Artikel Lain